Setelah mengalami pelbagai rebah dan bangunnya, akhirnya Pejabat Daerah dan Tanah, daerah barat daya (DBD), Pulau Pinang, kini mencapai usia 100 tahun pentadbirannya (1888-1987)

Pejabat kecil dua tingkat ini telah didirikan dalam tahun 1887, menurut rekod pejabat. Bagaimanapun, tarikh ini bercanggah dengan rekod yang disimpan oleh Jabatan kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, yang menyatakan bahawa bangunan ini dibina oleh JKR padan tahun 1880 bernilai $36,171.00 ketika itu.

Ini bermakna tarikh ini bersamaan dengan tarikh pembinaan Hospital Daerah Balik Pulau 1880 oleh seorang penghulu dari Kerajaan Syarikat Hindu-Timur Inggeris, Datuk Bahauddin.

Jadi, ada kemungkinannya pentadbiran bermula lebih awal tetapi tidak dirkodkan. seorang bekas Ketua Kerani Kanan, En. Wong Kim Boon, 62 tahun, berkata bahawa sebelum Perang Dunia ke II, daerah ini berada di bawah pentadbiran Penolong Pegawai daerah. hnya selepas Perang Dunia II, daerah ini telah dinaikkan taraf dan Pegawai Daerah pun ditugaskan bersama dengan penolongnya.

Tujuan utama pentadbiran Pejabat Daerah sejak awal tertubuhnya agensi Pejabat Daerah, ia mempunyai perbendaharaan kecil yang berfungsi kepada jabatan-jabatan termasuk Polis Daerah, Hospital Daerah dan kedai todi yang membayar gaji secara tunai kepada pekerja-pekerjanya. Tetapi fungsi perbendaharaan tidak diperlukan lagi dengan pembukaan cawanagn Malayan Banking Berhad di Balik Pulau pada 20hb. Oktober 1962 Pejabat Daerah dan Tanah adalah untuk memberi perkhidmatan yang cekap dan bertanggungjawab bagi menolong orang-orang awam dari segala segi pentadbiran tanah.

Sebelum Perang Dunia II (1941-1945), pejabat-pejabat yang terletak di tingkat bawah bangunan tersebut ialah: Pejabat Pos dan Telegraf, Stor dan Talikom, Pejabat Kastam dan Eksais, Pejabat Kerani Candu, Jabatan pertanian, Jabatan parit dan Taliair dan Stor.

Manakala di tingkat atas ialah mahkamah (ruang utamanya), dengan dua orang jurubahasa India dan Cina. Bahagian Pentadbiran dan Hasil terdiri daripada juruwang (shroff), dua orang kerani MAjlis Perbandaran Pulau Pinang (M.P.P.P) dua orang kerani tanah dan seorang kerani perhubungan, seorang ketua kerani, dua orang kerani kupon, dua orang ‘bailiffs’, lima orang penghantar notis, seorang jurutekap, tiga orang penghulu dan seorang Penolong Pegawai Daerah.

Selepas perang pada 3hb. sept. 1945, Pejabat Pos dan Telegraf berpindah ke pejabat baru dan tempatnya diambilalih oleh Jabatan Penerangan. Pejabat Talikom dan Stor juga turut berpindah ke bangunan baru. Oleh itu RISDA dan Pejabat Kebajikan mengambil-alih tempat tersebut. Pejabat Kastam digantikan oleh Pejabat Kadi. Setelah Jabatan Pertanian mempunyai pejabat sendiri, Jabatan Pendaftaran menggantikan tempatnya, Hanya Jabatan parit Taliair kekal di tempatnya.

Sementara itu, di tingkat atas pula, Pejabat Kawalan Makanan dan Pejabat Hal Ehwal orang-orang Cina ditutup. Mahkamah Balik Pulau juga ‘mengangkat bungkus’ ke bangunan sendiri, dituruti kemudiannya oleh M.P.P.P. Sejak itu, keseluruhan ruang diambil oleh Pejabat Daerah dan Tanah dan Pihak Berkuasa Air (P.B.A.) seperti kini.

Objektif-objektif Pejabat Tanah ialah:

  • Mengadakan sistem pengurusan pentadbiran dan pembangunan tanah yang cekap dan berkesan
  • Memberi perkhidmatan-perkhidmatan berdasarkan kepada undang-undang tanah
  • Menguatkuasakan peruntukan undang-undang tanah

Pejabat yang luasnya 4,296 kaki persegi di tingkat atas ini tidak pernah ditambah walaupun bilangan kakitangan bertambah dari semasa ke semasa. Ini bukan sahaja menyebakan kesempitan ruang pejabat tetapi juga ruang stor menjadi bertambah sempit.

Perpindahan Bilik Gerakan/Bilik Mesyuarat ke Bangunan Kelab permainan telah melegakan sedikit kesesakan dan dapat memberikan ruang untuk disediakan kaunter perkhidmatan demi kemudahan orang awam berurusan dengan pejabat ini.

Pejabat tersebut telah ditadbir oleh seramai 52 orang Pegawai Daerah. Tetapi dua orang Pegawai Jepun yang telah berkhidmat pada 1942 hingga 2hb. Sept 1945 dengan penolongnya, S.T.Stewart, telah tidak disenaraikan. En.Wong KIm Boon yang telah berkhidmat selama 36 tahun di pejabat ini sejak 1943, pernah berkhidmat kepada pegawai-pegawai Jepun yang berkenaan tetapi gagal mengingati nama-namanya.

Pada awalnya, tugas utama Pegawai Daerah ialah untuk mengutip cukai/hasil, mentadbir hal ehwal jenayah dan awam (sekarangpun Pegawai Daerah masih diwartakan sebagai Majistret Kelas I), mewujudkan infrastruktur fizikal yang minima bagi membolehkan eksploitasi pada sumber alam serta menjalankan kerja-kerja pentadbiran am dan sebagainya.

Institusi ini berjalan terus hinggalah negara ini mencapai kemerdekaan. Setelah itu, orientasi dari segi fungsi dan pernan telah berubah dengan diberi penekanan yang lebih kepada aspekpembangunan yang dikenal sebagai Rancangan Pembangunan Luar-Bandar. Dengan itu, terlaksanalah Rancangan Lima Tahun Kerajaan (sesuai dengan pilihanraya umum lima tahun sekali).

Kemerdekaan telah memberikan cabaran baru kepada institusi Pejabat Daerah. Pertama, peranan Pegawai Daerah bukan lagi hanya untuk pentadbiran yang rutin dan mengutip cukai bagi pihak kerajaan.

Fungsi Pegawai daerah kini lebih merupakan sebagai pusat tumpuan bagi pentadbiran dan pembangunan kawasan luar-bandar. Di sinilah peruntukan rancangan dasar pembangunan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri disalurkan dan juga permintaan orang ramai diterima dan dipertimbangkan. dengan ini, wujudlah perancangan dari bawah ke atas.

Sebagai seorang pentadbir/pemimpin, Pegawai daerah dikehendaki memahami serta menterjemahkan dan menyampaikan mesej kerajaan kepada orang ramai melalui apa jua peluang yang diperolehi. Terdapat lebih kurang 20 dasar utama kerajaan bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang perlu diserapkan supaya bukan sahaja difahami oleh orang ramai tetapi juga dipraktiskan dan sekaligus melibatkan mereka.

Oleh kerana kekurangan pegawai/kakitangan, maka Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) misalnya diberikan juga tugas-tugas lain yang tidak berkaitan dengan tanah seperti Rukun Tetangga. Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) dengan tugas-tugas pembangunan yang dikira agak berat/banyak masih lagi dibebankan dengan tugas-tugas lain umpanya keselamatan, geraksaraf/perangsaraf dan pentadbir.

Objektif-objektif pejabat daerah ialah:

  • Untuk mewujudkan kepimpinan yang berkesan di peringkat daerah supaya mendapat sokongan dan kerjasama rakyat.
  • Untuk menyelaraskan segala kegiatan kerajaan dan rakyat dengan jabatan-jabtan kerajaan, kerajaan dan rakyat dengan jabatan-jabatan kerajaan, agensi-agensi kerajaan di bidang pembangunan, keselamatan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain melalui muhibbah.
  • Untuk melaksanakan dasar kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama jabatan-jabatan kerajaan, agensi-agensi kerajaan dan badan-badan sukarela.
  • Untuk mentadbir dan menguatkuasakan keperluan undang-undang kerajaan negeri dan persekutuan supaya sesuatu kegiatan yang berkaitan itu dapat dijalankan dengan sempurna.