LADANG HERBA HARUMAN HAYAT

Seharum namanya, sebaik menjejakkan kaki ke ladang ini haruman pokok herba khususnya dari jenis berbunga cukup menyegarkan walaupun dalam cuaca panas.

Kedatangan yang disambut mesra oleh pengusaha ladang Dino Sukarno atau lebih dikenali di kalangan pengamal perubatan tradisional dan pengunjung Ladang Herba Haruman Hayat sebagai Pak Su Dino.

Bercerita mengenai ladangnya, Pak Su Dino berkata, ladang herba yang baru berusia tiga tahun itu masih lagi di peringkat percubaan namun begitu dengan usaha berterusan tanpa mengenal lelah ia mula menampakkan hasil.

“Biasanya pengunjung yang datang merupakan orang yang telah biasa di kawasan ini tetapi setiap kali mereka datang mereka akan bawa orang baru.

Ladang seluas 2.5 hektar itu mempunyai 58 pokok herba yang diperolehi sama ada dari kawasan hutan dan gunung di seluruh Malaysia ataupun dari Jabatan Pertanian.


HALA TUJU LADANG HERBA HARUMAN HAYAT

Ladang yang diusahakan bersama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Pulau Betong Mohamad Farid Saad ini juga menghasilkan bahan untuk digunakan bagi rawatan spa dan sauna.

Sebanyak 63 produk berjaya dihasilkan menerusi kajian dan penyelidikan yang dijalankan sejak tiga tahun lepas, daripada jumlah itu terdapat 30 produk yang berjaya dipasarkan dan 11 produk mendapat sambutan yang menggalakkan.


PEKERJAAN SAMPINGAN

Sementara itu, Mohamad Farid berpendapat bahawa pokok serai wangi boleh dikomersilkan memandangkan ia daripada jenis tumbuhan yang tahan lasak dan sesuai dengan tabiat menanam di kalangan petani di kawasan ini.

Kebanyakan petani di sini mengamalkan konsep 3T iaitu ‘Tanam, Tinggal dan Tuai’, jadi serai wangi adalah tumbuhan yang sesuai untuk konsep penanaman seperti itu.¬†Fasa kedua untuk meluaskan ladang itu sedang giat dijalankan dengan mengumpulkan tanah orang kampung yang tidak diusahakan untuk ditanam dengan pelbagai pokok herba.

Apabila usaha ini berjaya kelak Ladang Herba Haruman Hayat akan dikembangkan untuk membekalkan benih pokok herba kepada orang kampung yang berminat untuk membuat ladang secara berkelompok.

USAHA KE ARAH MEREALISASIKAN PELANCONGAN PERUBATAN

Pulau Pinang antara negeri yang popular dengan pelancongan perubatan, dan usaha memperkenalkan produk pelancongan itu juga semakin giat dijalankan.

Dengan adanya pusat spa dan sauna juga diharap impian untuk merealisasikan Balik Pulau sebagai hub pelancongan kesihatan akan menjadi kenyataan.Untuk memenuhi permintaan orang ramai jugalah dua buah bangunan sedang disiapkan di bahagian hadapan ladang ini untuk dijadikan pusat spa dan sauna.

Oleh itu, tumbuhan herba yang pernah menjadi barang dagangan sejak zaman keagungan pelabuhan Melaka kini terus mendapat tempat istimewa daripada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum. Generasi muda hari ini juga semakin mengenali tumbuhan herba, mentelah lagi kini tumbuhan herba boleh ditanam di kawasan rumah dan dijadikan sebagai tumbuhan penghias taman dan landskap.

kg